Sunday, March 29, 2009

Berpeluh Berlebihan (Hyperhydrosis) dan Rawatannya

Semasa menjalankan khidmat kesihatan di BG tempoh hari. Saya didatangi seorang bapa yang mengadu perihal masalah yang dihadapi oleh anak perempuan beliau. Memang jelas dari simptom yang di tunjukkan oleh adik perempuan tersebut beliau mengalami apa yang dinamakan sebagai HYPERHIDROSIS.

Penyakit ini tidaklah memudaratkan dari sudut fizikal sebenarnya. Tetapi ia akan membawa kepada permasalahan psikologi dan sosial. Bayangkan apa yang akan berlaku pada anda sekiranya tapak tangan anda berpeluh secara berlebihan. Sifat inferiority anda akan terserlah. Malu untuk berjabat tangan. Bagaimana untuk anda menulis dengan pena? Bagaimana pula keadaan pekerjaan yang memerlukan tangan anda untuk beroperasi?

Satu kes yang pernah kami terima, pesakit tertekan apabila gagal SPM akibat masalah yang ditanggung. Paling sukar, apabila menjawab karangan samada BM / BI. Berdozen tisu dan kain pengelap diperlukan dan akhirnya memakan masa untuk menjawab sesuatu soalan. Situasi peperiksaan yang meletakkan pesakit dalam keadaan tekanan memarahkan lagi keadaan. Lebih parah lagi apabila kertas jawapan tidak dapat di baca oleh pemeriksa.

Akhirnya, disebabkan gagal SPM pesakit tersebut mencari sumber pendapatan dengan bekerja sebagai operator perkilangan. Keadaan menjadi bertambah parah apabila beliau dinasihatkan untuk berhenti kerja, gara-gara kebannyakkan alatan mikrolektrik yang beliau operasikan mengalami kerosakan. Akhirnya beliau bekerja sebagai "tukang urut" refleksologi. Mujur menggunakan sarung tangan.

Kebetulan jabatan yang saya kini bertugas menjalankan prosedur yang akan diterangkan dalam artikel dibawah. Pelbagai teori dan kaedah rawatan cuba dipraktis tetapi kesannya hanya sementara. Akhirnya, kaedah rawatan pembedahan kecil ini sebagai kaedah rawatan penyembuhan terbaik buat masa ini. Ikuti artikel berikut;
______________________________________

Berpeluh Berlebihan (Hyperhydrosis) dan Rawatannya

Dr Mohd Mazri Yahya Pakar Perunding Bedah Am,Vaskular & Endovaskular
Hospital Pakar Regency
Masai, Johor

Penyakit berpeluh yang berlebihan dikenali sebagai Hyperhidrosis. Ia berlaku pada hampir 1% daripada populasi terutamanya wanita. Perpeluhan yang tidak normal ini biasanya mengganggu kehidupan pesakit dan ia boleh berlaku di tangan, ketiak, kaki atau muka. Ada pesakit yang tidak ke masjid atau berdebar ketika hari raya menjelang tiba kerana tangan yang basah ketika bersalaman. Ada pesakit yang mengadu berpeluh menitik-nitik tanpa sebab dan kaki yang berendam di dalam kasut disebabkan perpeluhan pada kaki. Ini menyebabkan mereka berasa sulit untuk menjalani kehidupan.

Penyebab penyakit hyperhydrosis ini masih belum diketahui. Walaupun begitu, ia dipercayai disebabkan oleh rangsangan saraf simpatetik yang berlebihan pada kelenjar peluh yang terlibat.

Terdapat pelbagai cara rawatan yang boleh dan pernah digunakan untuk merawat penyakit ini. Ia termasuklah penggunaan Ubat Sapu antiperspirant, pil antikolinergik dan iontophoresis. Namun kesannya tidaklah menyeluruh dan hanya berkesan pada sebilangan kecil pesakit sahaja. Begitu juga dengan penggunaan suntikan botulinum (Botox), walaupun berjaya untuk merawat pesakit tetapi biasanya ia adalah sementara. Pesakit memerlukan rawatan yang berulang-ulang kali setiap 3-6 bulan.


Rawatan pembedahan simpatektomi merupakan rawatan yang terbukti keberkesanannya. Terdapat pelbagai cara di dalam melakukan pembedahan tersebut dan cara yang terkini ialah melalui pembedahan lubang kunci (key-hole surgery) iaitu Endoscopic Trans Thoracoscopic Sympathectomy(ETS). Penggunaan ETS ini telah merubah cara rawatan penyakit hyperhydrosis daripada rawatan menggunakan ubat-ubatan kepada pembedahan.

Keberkesanannya dilaporkan sehingga 98% dengan kesan samping yang sangat kecil. Di antara kesan samping yang dilaporkan termasuk kerosakan saraf frenik, saraf brachial plexus, Sindrom Horner, perdarahan ruang paru-paru dan pneumothoraks. Tetapi semua komplikasi tersebut adalah sangat kecil iaitu pada kadar 1%. Komplikasi yang paling kerap dilaporkan ialah ‘Perpeluhan di tempat lain’ (Compensatory sweating) iaitu pada kadar 40%. Pesakit biasanya mengadu berpeluh pada badan atau peha selepas daripada pembedahan dijalankan. Ia boleh jadi sementara ataupun berkekalan.

Pembedahan ETS dilakukan selepas pesakit diberi bius menyeluruh(general anesthesia). Endoscope berbentuk Y akan dimasukkan ke dalam ruang paru-paru melalui luka sebesar 2cm di bawah ketiak. Saraf simpatetik ke 2 – 4 akan dikenalpasti melalui kamera pada endoskop tersebut dan seterusnya akan dipotong menggunakan mesin diathermi. Selepas luka dijahit, prosedur yang sama akan dilakukan di paru-paru berikutnya. Biasanya pesakit akan dibenarkan pulang pada hari berikutnya.


Secara kesimpulannya, ETS sangat berkesan untuk hyperhydrosis pada tangan dan muka dan sebahagian pada kaki. Kesan yang drastik dengan komplikasi yang minimal menyebabkan rawatan ini semakin popular di dalam merawat penyakit Berpeluh berlebihan.