Saturday, December 1, 2007

Bicara buat teman- transformasi alam kampus kepada kerjaya

(Artikel ini pernah dikeluarkan untuk graduan mahasiswa perubatan UKM Mac 2006)

Barat percaya bahawa peredaran darah pulmonari di temui oleh Sir William Harvey. Walaupun, Sharh Fashriih al Qanuun karangan Ibn Al Nafees (meninggal dunia 686H/ 1288M) telah membincangkannya lama sebelum kelahiran Sir W. Harvey sendiri. Barat juga percaya bahawa Kocher's method berjaya memulihkan dislokasi sendi bahu, walaupun telah dibincangkan dalam At-Tasyriif oleh Al-Zahrawi (meninggal dunia 936H/ 1013M) lama sebelum itu.

Semua ini membuka mata penulis untuk berkongsi satu prinsip yang menyumbang kepada pembentukan gagasan intelektual, iaitu amanah kepada kebenaran. Penulis mengharapkan dapat membuka minda sahabat-sahabat yang akan mengalami proses transformasi dari alam kampus ke alam kerjaya.

Benar, Al-Zahrawi mahupun Ibn An-Nafees telah lama meninggalkan kita menjadi ratapan sejarah ketamadunan Islam, tapi mereka telah meninggalkan sesuatu pada ummah iaitu "prinsip kebenaran atas paksi perjuangan pasti akan terbongkar".

Penipuan nilai dan intelektual serta jenayah terhadap sejarah yang dilakukan oleh barat terbongkar sudah. Apa yang tinggal adalah bagaimana untuk memberi nilai terhadap perjuangan mereka yang terdahulu.

PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

Sukar untuk dimengerti, adakah titik pertemuan bagi segalanya. Apa yang ada hanyalah jalan-jalan penyimpangan yang melakari drama kehidupan. Tetapi akhirnya, kita dipertemukan jua diatas satu jalan dalam mewarnai sebuah dunia yang "indah hanya pada pandangan". Hampir-hampir kita diperdaya oleh lamunan dan angan-angan.

Akhirnya, lembaran hidup yang disangka imaginasi telah kita lalui secara realiti dan hampir dekat untuk ditinggalkan. Jalan yang dilakari pelbagai episod yang bakal mengisi ruang-ruang kosong dalam peribadi diri.

Masa akan terus berganti, acuan dan lembaran baru kehidupan selepas ini mungkin dipengaruhi oleh pensyarah yang telah mendidik atau kita sendiri memilih untuk membentuk skema acuan peribadi. Skil, ilmu dan kemahiran akan diterjemah kepada praktis sebagai pengamal perubatan.

Terma-terma seperti 'holistic', 'patient-centered', 'empathy & sympathethic' dll semuanya menuntut ia dapat dibentuk sebagai lakaran dan imej kepada peribadi diri dan proses rawatan yang diberi.

Realiti, kita akan berdepan dengan masyarakat bukan lagi dengan jalan mendapatkan merit, program-program kebaktian mahasiswa atau atas nama memenuhkan kredit akademik, tetapi kita berada di sana di atas jalan amanah, dalam mengharung lautan mehnah. Jalan amanah yang diberi oleh Pemegang segala amanah, Pentadbir segala amanah. Konsep asas yang perlu kalian hadamkan sebelum menerjah isi lanjut bicara ini.

MENGHARUNG JALAN-JALAN KEBENARAN

Sepanjang 5 tahun ini kita sama-sama telah melihat, menilai secara konstruktif bagaimana susur galur pertembungan "ideologi" kampus. Majaroti hanya bertindak sebagai pemerhati, yang lain sekadar dipinggiran dalam menyaksikan pertembungan. Lebih parah, para aktivis yang menyelam bersama-sama dalam pertembungan yang pasti tak berkesudahan. Menuntut pengorbanan.

Pelbagai bahasa dan bicara hati boleh kita dengar. Dari yang bernada ekstrim hinggalah kepada bahasa lembut berbentuk nasihat. Ada yang bingung memikirkan natijah pertembungan.

Memang benar, kehidupan di alam kampus mengundang natijah bahawa neraca dan pertimbangan pasti akan 'digegar'. Kadangkala cenderung/ memberati al-Haq dan kadangkala sengaja 'memekakkan telinga', 'membutakan mata' berpaling dari landasan kebenaran.

Sahabat, ingatlah bahawa neraca pertimbangan ini pasti akan dikhianati seandainya tidak dikalibrasi dengan punca yang dikehendaki hati dan naluri; iaitu iman dan taqwa. Penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dibangkitkan tidak akan memberi apa-apa makna seandainya kita tidak mempunyai agenda dan idealisme perjuangan yang jelas.

Perjuangan ini adalah berterusan dan samada ia akan terus kekal di dalam bentuknya yang asal ataupun tidak banyak bergantung kepada sejauh manakah kekuatan asal yang telah diletakkan oleh kalian pada hari ini. Perjuangan ini memerlukan kesinambungan. Dan warisan kepada kesinambungan ini terletak ditangan kita yang ada sekarang. Kita yang menjadi faktor penentu kepada mati dan hidupnya perjuangan pada masa akan datang.

PERJUANGAN APA?

Perjuangan bagi membentuk daerah suci dalam lapangan yang kita ceburi . Membentuk masyarakat atau ummah supaya faham dan akur terhadap kehendak beragama. Membentuk diri sebagai pengamal perubatan yang mementingkan kebenaran. Meletakkan kepentingan umum dari kepentingan diri; membataskan pergerakan untuk maslahah sosial bagi merealisasikan cita-cita dan gagasan ummah. Meletakkan da'wah sebagai matlamat yang timbul dari kefahaman terhadap mesej "perjuangan".

Meletakkan neraca dan pertimbangan tadi ke satu tahap yang tak mampu di gegar kerana sejarah telah membuktikan yang ianya realiti dan praktikal. Dan yang pasti, selepas ini dunia penuh ranjau ini telah ditinggalkan. Yang ada hanyalah kenangan. Tajuk baru akan dibuka. Kalam yang dinoktakan akan bermula semula tetapi dengan nada yang berbeza.

MEMBENTUK ACUAN SENDIRI

Pengamal perubatan haruslah terkedepan dalam membuat penilaian bagi membina identiti baru. Peranan kalian tidak akan berubah, yang berubah hanyalah bentuk acuan. Kita tetap akan mengisi ruang-ruang; dan yang akan menghasilkan bentuk-bentuk itu didasari oleh wacana masing-masing yang pelbagai. Kita adalah apa yang kita bentuk dan kita akan sama-sama memperjuangkan apa yang kita rasa membawa suatu kepuasan. Bebaskan pemikiran tetapi biarkan ia dipagar dengan pagaran keimanan. Kerana natijah yang akan pasti tersedia di hadapan adalah KEMENANGAN.

Akhirnya,

"Cita-cita menghendaki perjuangan, perjuangan menghendaki pengorbanan dan pengorbanan menghendaki ketabahan hati. Dan Kalian telah membuktikannya. . ."

No comments: