(mesej kepada mahasiswa perubatan sesi pengambilan 2007)
Kehidupan sebagai mahasiswa perubatan bukanlah suatu ilusi yang nampak indah pada pandangan kerana pasti realiti yang menunggu dihadapan adalah ranjau dan dugaan. Masakan kalian terlepas dari mengharungi duri kehidupan kerana kelak kalian akan berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai ragam.
Disebalik kelemasan menerjah mehnah, tribulasi dan kesengsaraan; ada butir-butir keceriaan dicelah-celah duri yang tajam. Bagi mereka yang berfikiran positif, pengembaraan ini amat menyeronokkan apatahlagi dalam menimba pengalaman. Apa yang pasti bergantung pada persepsi individu. Berperang dengan kepastian dan bersama mengadaptasi kehidupan seperti suatu cabaran.
KEMENANGAN YANG TERTANGGUH
Tatkala sahabat lain bersenang dengan laba dan ganjaran, hasil titik peluh pekerjaan. Kalian terus memerah keringat; memecah segala kebuntuan mengharung sebuah perjalanan, merintis minor imtihan (peperiksaan/ujian)- kerana major imtihan diakhirat sana. Tetapi ingatlah semua kesusahan itu sudah pasti ada ganjarannya. Cuma persoalannya bila?
Seandainya segala rintangan diiringi dengan kesabaran, ganjaran Allah pasti. Seandainya segala kejayaan diiringi dengan kesyukuran, ganjaran Allah juga pasti. Kerana bagi kita tiada apa yang lebih penting daripada segala-gala yang penting melainkan keredhaanNya. Mungkin coretan ini sukar untuk dimengerti kerana hakikat keimanan bukan sahaja tidak dapat dijelaskan dengan penulisan bahkan kata-kata; kerana ia berlegar didalam hati.
Kalian adalah peneraju masyarakat. Timbalah sebanyak mungkin ilmu yang berkaitan. Jangan di pinggirkan ilmu-ilmu komplimentari yang boleh membentuk identiti dan jatidiri. Biar masyarakat menganggap kalian idealistik, muluk dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Kerana melalui pemikiran yang berginilah, masyarakat akan mendapat ganjaran dan manfaat. Kalian akan keluar mengharung kehidupan berbekal ilmu yang pelbagai.
KALIAN ADALAH PEMAIN LAYANG-LAYANG
Ingatlah bahawa kalian adalah peneraju jalan perjuangan. Jangan dibiarkan 'teraju' ini tempang dan tidak seimbang kerana natijah pasti tidak mampu ditanggung. Kalian adalah pemain layang-layang yang sedang memegang tali amanah. Kalianlah yang akan menerbangkan prinsip untuk dilihat dan diperhatikan oleh masyarakat.
Adakalanya, lelayang terbang tinggi diudara bersama-sama tiupan angin yang memberi keindahan dan ketenangan. Menarik perhatian lantas memberi mesej yang jelas kepada masyarakat .
Kadangkala, angin yang bertiupan tidak menyebelahi kalian, layang-layang menjunam pantas dan terus menghempas ke bumi menyuramkan harapan dan sisa-sisa impian. Layang-layang tidak lagi terbang.
Kadangkala pula, angin yang kuat bertiup menyebabkan tali amanah putus dan mengakibatkan layang-layang terbang tanpa halatuju.
Itulah analogi yang ingin digambarkan bagaimana si pemain tadi harus merancang dan sentiasa bersedia untuk menggarap segala kemungkinan. Binalah layang-layang yang mempunyai teraju yang seimbang dari sudut tarbiyyah dan siyasah. Ruhiyyah dan jasadiyyah. Perancangan dan tindakan. Hati-hati dan strategi. Penuhkan akal dengan ilmu bermain layang-layang tadi. Menghulur tika angin bertiup; tali ditarik tika angin tiada. Biarkan ia terus terbang tinggi dalam memberi erti sebuah perjuangan. Biarlah masyarakat mengerti bicara hati yang terpendam melalui apa yang kalian laksanakan.
Penyudah bicara, bersama perjuangkan, erti sebuah persahabatan; tapi yang terlebih mulia apabila lkalian mampu bertemu dan berpisah atas dasar permuafakatan fikrah dan amal. Mempotret memoir indah yang sukar untuk dimadah, tetapi yang pasti, sama-sama melaluinya dengan gerak langkah yang pelbagai, terpulang pada pertimbangan. Ayuh mulakan langkah dengan pertimbangan yang wajar. Mulakan langkah dengan meletakkan matlamat yang hendak dicapai. Begin with the end in mind.
Tapi, waspadalah. Jangan kerana maslahah kita mengetepikan prinsip dan dasar yang telah dicoretkan dalam Al-Quran dan As-sunnah. Jangan kerana amarah, kita mengabaikan prinsip al-murunah (fleksibel) yang menjadi kunci kepada keindahan Islam. Wahai muhajir di bumi Allah, sama-samalah fikir dan renungkan erti kehidupan “student perubatan”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment