Perubatan/ pengubatan merupakan suatu bidang yang tidak dapat lari dari membincangkan 5 perkara penting yang terkandung dalam maqasid syar’iyah; iaitu deen (agama), nafs (nyawa), aql (akal), nasb (keturunan) dan maal (harta). Maka, penulis merasakan perlu bagi khalayak untuk sekurang-kurangnya mengetahui secara ringkas konsep dan syarat-syarat pengambilan hukum rukhsah ketika dharurat. Sebagai permulaan, penulis ingin berkongsi kertas kerja yang penah dibentangkan oleh Dr Daniel Zainal Abidin bertajuk "Hukum-hukum Kelonggaran ketika kecemasan dalam perubatan".
HUKUM-HUKUM KELONGGARAN KETIKA KECEMASAN
Apabila kita renungi nash-nash Al Quran dan Al Hadith, sesungguhnya setiap tuntutan yang difardukan oleh Islam tidaklah berat, bahkan cukup ringan. Artinya, semua aturan itu masih di dalam kadar kesanggupan manusia.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al Baqarah 2:286)
Bila kemampuan manusia menurun, maka Allah memberikan rukhsah . Kemudahan, dan bukan kesulitan, itulah yang dikehendaki oleh Allah swt.
"Allah menghendaki kemudahan bagi mu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu." (Al-Baqarah : 185)
HUKUM-HUKUM DASAR
Hukum azimah ialah hukum pokok ataupun asal yang telah disyari'atkan oleh Allah kepada setiap mukallaf seperti solat dan puasa.
Hukum rukhsah pula ialah hukum keringanan yang diizinkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) seperti harus berbuka puasa Ramadhan ketika sakit. Tujuan rukhsah diturunkan adalah semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam sebenarnya merupakan satu agama yang praktikal dan mudah. Ia boleh mengadaptasikan dirinya dalam pelbagai keadaan dan masa tetapi masih lagi di bawah panduan wahyu Allah swt.
"Sesungguhnya diharamkan kepada kamu bangkai dan darah dan daging babi dan apa-apa yang disembelih untuk yang lain daripada Allah. Tetapi sesiapa yang terpaksa tanpa ada kecenderungan dan tanpa melampui batas, maka tidak ada dosa keatasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. " (Al Baqarah: 173)
Hukum-hukum azimah perlulah diamalkan dengan sebaik mungkin melainkan jika wujud suasana ataupun keadaan yang mengharuskan kita beramal dengan hukum-hukum rukhsah. Walaubagaimanapun hukum-hukum rukhsah hanya boleh diambil apabila seseorang itu berada dalam dharurat. Oleh itu perlulah kita memahami terlebih dahulu syarat-syarat yang boleh sampai kepada keadaan dharurat tersebut.
SYARAT-SYARAT DALAM PENGAMBILAN HUKUM RUKHSAH KETIKA DHARURAT
Keharusan mengambil hukum rukhsah ketika dharurat bukan boleh dilakukan sewenang- wenangnya tanpa sebarang kaedah.
Kaedah pertama ialah;
"Kecemasan (dharurat) mengharuskan yang haram."
Akan tetapi pengambilan benda-benda yang haram dimasa dharurat dibatasi dengan kaedah yang kedua, iaitu;
"Dharurat diambil sekadar keperluan sahaja."
Menggunakan benda yang haram melebihi kadar keperluan dimasa dharurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, pada ketika dharurat boleh digunakan benda-benda dan cara-cara yang haram sekadar keperluan. Di antara syarat-syarat penting yang mesti dijaga ialah:
- Bahawa keadaan dharurat itu benar-benar berlaku, bukan sesuatu yang dinanti- nantikan. Maksudnya telah wujud suatu keadaan di mana kemusnahan ataupun kehancuran akan menimpa keatas diri ataupun harta benda secara pasti, ataupun berpandukan sangkaan yang kuat berdasarkan pengalaman-pengalaman. Ataupun telah benar-benar wujud suatu keadaan yang akan merosakkan dan menghancurkan satu diantara 5 perkara dharuriyat yang telah disebutkan: samada agama, nyawa, akal, keturunan, ataupun harta benda. Ketika ini barulah hukum rukhsah boleh diambil.
- Telah dipastikan bahawa tidak ada benda-benda halal lain yang boleh diambil melainkan yang haram sahaja.
- Benda-benda yang halal yang ada mestilah dipastikan tidak akan dapat menghindarkan kemudharatan dan kehancuran daripada menimpa si pesakit.
- Bahawa seseorang yang terpaksa itu tidak dibolehkan melanggar prinsip-prinsip Islam yang asasi, umpamanya, mejaga hak orang lain, menunaikan amanah dan lain-lainnya. Umpamanya tidak dibolehkan seseorang yang terpaksa itu berzina, membunuh, merompak untuk menghilangkan kemudharatan yang menimpa.
- Hendaklah pengambilan yang haram itu sekadar perlu sahaja, untuk menghilangkan dharurat yang menimpa. Tidak boleh lebih.
- Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram ketika dharurat mestilah dipastikan oleh seseorang doktor yang adil, yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.
Sumber: Hukum-hukum Kelonggaran ketika kecemasan dalam perubatan oleh Dr Daniel Zainal Abidin
Seseorang doktor yang adil!!!
Doktor yang adil digambarkan sebagai seorang pengamal perubatan yang amanah tentang agama dan ilmunya. Yang memenuhi gagasan professionalisme dimana terangkum didalamnya al-amanah dan al-quwwah. Nilaian yang diukur mengikut doktrin semasa sebagai integriti dan kompetensi. Semuanya merupakan cabaran dalam membentuk nilai tambah kepada seseorang pengamal perubatan. Suatu perjuangan yang takkan berkesudahan..
No comments:
Post a Comment